~ Tatkala aku membaca kisah cinta dari seorang penulis ini..
tiba-tiba hatiku sayu membacanya..
terkenang kisah ku yang lalu...
seakan-akan sama seperti jalan cerita hidup ku..
mari kita renungkan bersama.. ~
Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu.
Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang
kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa.
Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai
manusia untuk merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir
dalam diri kita berbeza bagi setiap individu.
"Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu:
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda
pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di
dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
[Ali 'Imran, 3:14]
[Ali 'Imran, 3:14]
Dalam diam, perasaan itu
hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan
itu. Perasaan yang bukan baru semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku
pendam. Aku sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang
bukan aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa,
perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam
aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku
khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir
andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat
dengan satu ikatan di dalam hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz
melalui bicara kata.
Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga
memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan
dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi
samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku.
Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju.
Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan
keadaan ini. Aku rasa seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi.
Namun kini, aku mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat
keputusannya kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan
dia.Teringat aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan
yang aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak
disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti
bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh
ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi
penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar
di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan
rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami,
sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan
takdir antara kami nanti.
Jarak ini menjaga aku dan
dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan
untuk menghukumku. Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK'
ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK
ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini
aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan
JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan
Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia
akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang
kepadaku melalui jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada
aku dan dia.
"Ketahuilah
hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra'd 13:28 )
(Ar-Ra'd 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh.
Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan sekeliling yang menekanku. Jika tidak
kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari pelbagai alasan untuk bersama dia.
Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya. Hatiku akan bertambah rindu saat
mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku.
Aku yakin semua ini rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan
yang baik untuk aku dan dia..
Biodata Penulis : Mohd Nazarul Elmy
0 comments:
Post a Comment